Ahad, 29 November 2009

Rencana!

Berakhirnya institusi tingkatan enam

Oleh: Zin Mahmud

PENDIDIKAN bukan saja pencapaian akademik. Ada dua komponen penting lain iaitu kokurikulum dan sukan.

Persatuan di sekolah akan mengajar tanggung jawab, bagaimana bekerja dalam satu pasukan, dan lebih penting lagi ialah semangat sukarela. Seseorang pekerja yang mempunyai semangat sukarela akan mampu membuat sesuatu atas dasar inisiatif sendiri tanpa mengira sama ada ganjaran akan diperoleh daripada syarikat.

Sukan di sekolah juga amat penting. Daripadanya ia boleh menyemai amalan hidup sihat di samping kelebihan yang diperoleh melalui permainan secara berpasukan, menghormati peraturan permainan yang juga memperkayakan keperibadian seseorang.

Namun begitu, sukan dan kokurikulum di sekolah hanya dapat cemerlang jika

persatuannya kuat dan dipimpin baik. Kalau persatuan tidak menampakkan aktiviti cergas di bawah kepimpinan pelajar sendiri, maka ia dianggap gagal. Lebih-lebih lagi jika ia terlalu bergantung kepada guru penasihat hingga peranan pelajar tidak cukup menyerlah.

Ini kerana guru wajar hanya membimbing dan tidak campur tangan dengan banyak hingga pelajar-pelajar itu tidak benar-benar memimpin.

Tetapi persatuan-persatuan sekolah hanya dapat bergerak dengan baik sekiranya ia dipimpin oleh pelajar-pelajar matang. Pelajar tingkatan empat kurang matang kalau berbanding dengan pelajar tingkatan enam. Sementara pelajar tingkatan lima terpaksa menumpukan kepada peperiksaan yang dihadapi.

Jika ada tingkatan enam, maka kepimpinan sekolah termasuk persatuan akan berada di tangan pelajar yang lebih matang dan bersedia untuk menjayakan pelbagai aktiviti. Sementara pelajar tingkatan empat akan menjadi pelapis yang akan belajar daripada senior dalam memimpin institusi-institusi sekolah.

Kejayaan tingkatan enam inilah merupakan penyumbang kepada kecemerlangan sekolah-sekolah dahulu seperti Victoria Institution, St John‘s Institution, Anderson School, King George School dan English College .

Tetapi sejak tahun 80-an, institusi tingkatan enam ini mula dilemahkan. Pelajar-pelajar baik akan dimasukkan ke dalam program matrikulasi.

Di kolej-kolej ini, pelajar-pelajar tidak berpeluang untuk memberi kepimpinan kepada persatuan yang besar dan merangkumi ahli pelbagai peringkat umur. Mereka hanya memimpin persatuan rakan sebaya. Tidak seperti kalau mereka berada di sekolah menengah yang pelajarnya merangkumi hingga ke tingkatan satu.

Sementara itu, sekolah menengah pula kehilangan pelajar cemerlang untuk memimpin persatuan. Yang tinggal berada di tingkatan enam adalah pelajar-pelajar sederhana.

Akhirnya tingkatan enam tidak lagi popular di kalangan pelajar yang mahu cepat-cepat meninggalkan sekolah. Maka kepimpinan persatuan sekolah jatuh kepada pelajar tingkatan empat yang masih kurang matang.

Maka tidak hairanlah para majikan juga mengeluh. Mengapakah kalangan generasi sekarang dari segi nilai bekerja dan kepimpinan amat rendah? Sikap tanggungjawab, inisiatif dan sukarela dirasakan merosot? Tumpuan hanya kepada berapa gaji yang diperoleh dan bukannya disebabkan minat dan keseronokan bekerja?

Penulis juga percaya kemerosotan sukan di negara ini juga berpunca daripada kegagalan sekolah untuk mewujudkan persekitaran kesukanan dan permainan yang tinggi. Kelemahan budaya kesukanan di sekolah-sekolah dipercayai berada dalam keadaan yang amat lemah.

Jaguh-jaguh sukan negara dahulu lahir dalam sistem persekolahan sebelum tahun 80-an.

Rabu, 25 November 2009

Keratan Akhbar!


Majlis Graduasi Pelajar Tingkatan 5 SMK Taman Selayang di siarkan dalam akhbar Warta Perdana

SAMBUTAN majlis Graduasi Pelajar Tingkatan 5 yang diadakan di Perangsang Tampler Golf Club, Rawang, mendapat liputan dan disiarkan di dalam akhbar Mingguan Warta Perdana Edisi 1047, 29 November lalu.

Disiarkan keratan akhbar tersebut untuk tatapan pengunjung blog khasnya bekas pelajar SPM 2009 SMK Taman Selayang sebagai kenangan.

Ahad, 8 November 2009

Foto Kenangan!


Bergambar ceria bersama kaunselor, Puan Faridah Nisah
Rakaman foto yang menjadi detik kenangan kepada sebahagian pelajar 5 Musytari, Neptune, Marikh, Zuhal, Perdana,Wira, Satria, Putra, Waja & Saga di majlis Graduasi pelajar SPM 2009 Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Selayang (SEMENTAS) yang berlangsung di Perangsang Tampler Golf Club, Rawang.

Sabtu, 7 November 2009

Majlis & Program!

Majlis Graduasi Ke-2 Pelajar SPM 2009 SMK Taman Selayang, catat kenangan manis

Keteterangan gambar: Ceria: Pengetua SMK Taman Selayang, Puan Che sham Abdul.

Keterangan gambar: Dr Othman...rasmi majlis graduasi
kali kedua




























































Keterangan gambar: Puas: Pelajar 5 Musytari aliran sains, Kasturi a/p Ramasamy raih 12A



































































Keterangan gambar: Bukti kepada ibu bapa, guru: Empat pelajar 5 Musytari dan 5 Zuhal, dari kiri Tan Shek Hoon, Nanthini a/p Raman, Kasturi a/p Ramasamy dan Nor Aiman Binti Mohd Rosdi menerima sijil dan cenderahati.
















Majlis Graduasi Ke-2 Pelajar SPM 2009 SMK Taman Selayang
...meriah, cetus semangat dan kenangan manis pelajar, guru
Rawang, Selangor
: Demi merealisasi kenyataan, seramai 176 pelajar Tingkatan 5 Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Selayang (SMKTS), berjanji berusaha bersungguh-sungguh menghadapi kertas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2009, bermula 18 November ini. Ikrar pelajar di majlis Graduasi Ke-2, turut disaksikan Pengetua Sekolah, Puan Che Sham Abdul, Yang Dipertua Persatuan Ibubapa Guru (PIBG) Encik Mohd Arpan Shari dan Kaunselor Kanan Bahagian Psikologi dan Kaunseling Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), Dr Othman Ab Rahman serta guru SMKTS.
"Majlis ini dapat memberi inspirasi kepada semua pelajar agar lebih bersemangat dan berkeyakinan tinggi mencapai kejayaan serta menentukan haluan mereka pada masa hadapan.
"Saya ingin mendoakan kejayaan semua pelajar dan selamat menempuh peperiksaan. Teruskan perjuangan tanpa putus asa bagi membalas jasa ibu bapa dan guru," kata Pengetua SMKTS, Puan Che Sham Abdul di majlis yang diadakan di Perangsang Templer Golf Club, Rawang, baru-baru ini.
Sementara itu, Kaunselor Kanan, Bahagian Psikologi & Kaunseling Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), Dr Othman Ab Rahman, mengucap tahniah kepada pelajar Tingkatan 5 SMK Taman Selayang kerana berjaya menamatkan pengajian selama 11 tahun dan seterusnya menerima sijil Majlis Graduasi.
"Di harap majlis ini menjadi kenangan manis yang dapat mengubah sikap negatif pelajar kepada positif, mengubah tingkahlaku malas kepada rajin dan akhirnya akan muncul khalayak pelajar yang cemerlang dan menjadi warganegara terbilang. Selamat menempuh peperiksaan dengan penuh berani dan bijaksana," kata Dr Othman memberi semangat dan seterusnya merasmikan majlis Graduasi.
Dalam majlis yang sama, empat pelajar menerima Anugerah Pelajar Terbaik Majlis Graduasi 2009. Pelajar tersebut ialah Kasturi a/p Ramasasamy dari 5 Musytari, aliran sains berjaya meraih 12A. Seorang lagi pelajar dari 5 Musytari juga dari aliran sains, Nur Aiman Binti Mohd Rosdi, berjaya mencatat 8A+3B. Sementara pelajar 5 Zuhal, dari aliran sastera, Nanthini a/p Raman berjaya merai keputusan 5A+3B+1G diikuti pelajar 5 Zuhal, juga aliran sastera Tan Shek Hoon , mendapat 4A+3B+1C+1D+1G di dalam peperiksaan percubaan SPM baru-baru ini.
Turut hadir di majlis ini, ibu bapa yang dijemput khas menceriakan majlis. Memeriahkan majlis, bacaan ikrar oleh ketua pelajar 2009, dari 5 Musytari, Nur Illyani Binti Mohamed Azmin. Diikuti deklamasi sajak dan persembahan lagu dari beberapa pelajar.
Sesungguhnya, Majlis Graduasi Tingkatan 5 2009 SMK Taman Selayang, berjaya menyemarak tekad menggapai impian ke IPTA bersama semangat juang menghadapi peperiksaan SPM dengan penuh berani!
Selamat berjaya kepada semua pelajar dari kru blogspot!