Sabtu, 15 Mei 2010

Selamat Hari Guru Ke-34

SEMPENA sambutan Hari Guru Ke-39, Ahli Jawatankuasa Persatuan Ibu Bapa Guru Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Selayang, mewakili ibu bapa murid, mengucapkan tahniah kepada Yang Dihormati Pengetua Sekolah dan guru penolong kanan serta guru-guru kerana komitmen yang sepenuh jiwa mendidik anak-anak bangsa menjadi genarasi terbilang dan gemilang.

Selamat Hari Guru kerana Guru Pembina Negara Bangsa

Selasa, 6 April 2010

Kisah ulat buku tahun 70-an

MEMANG sukar untuk menggalakkan orang membaca. Kerana minat membaca ini kemungkinannya adalah seperti bakat semula jadi seseorang.

Kalau seseorang itu minat, ia dengan sendiri akan membaca tanpa digalak-galakkan. Kalau tidak minat, suruhlah macam mana pun, dia tidak akan minat.

Cuma apa yang boleh dilakukan hanya mendedahkan dan memudahkan kanak-kanak menyukai buku.

Ia adalah dengan harapan supaya mereka sememangnya berbakat untuk minat pada buku akan terdorong kepadanya. Jika tidak, kemungkinannya minat dan bakat akan hilang begitu saja.

Seperti orang yang berbakat menyanyi. Kalau tidak digalakkan, ia akan hanya menyanyi di bilik air. Tetapi kalau digalakkan dan didedahkan, mungkin ia boleh berkembang menjadi kerjaya.

Cabaran bagi menggalakkan orang membaca lebih sukar sekarang. Kanak-kanak tentunya lebih cenderong untuk meluangkan masa untuk membaca atau bermain dengan komputer.

Tetapi membaca yang lain daripada buku bukan sebenarnya membaca. Tidak sama membaca blog, facebook atau laman web dengan membaca buku.

Tetapi menyatakan bahawa minat membaca buku akan membawa kejayaan adalah merupakan satu mitos. Banyak orang yang berjaya tetapi tidak meminati buku.

Sementara banyak orang yang meminati buku tetapi tidaklah berjaya dalam hidup. Terdapat banyak faktor untuk berjaya, dan membaca buku bukanlah salah satu faktornya.

Kini disedari bahawa masa depan membaca buku pasti akan berubah. Generasi masa depan akan membaca buku menggunakan e-reader.

Orang yang minat membaca buku akan melakukannya menggunakan e-reader. Dalam hal ini anak-anak Malaysia mesti bersegera berhijrah daripada membaca buku cetak kepada e-reader. Begitu juga dengan penerbit buku di negara ini.

Dalam budaya baru ini, tentunya buku akan bersifat global, bukan saja dengan menggunakan bahasa Inggeris tetapi sudah tidak ada batas sempadan bagi kemasukan buku.

Tidak ada sesiapa yang boleh mengharamkan buku.

Memang selama ini bagi para peminat buku, budaya mengharamkan buku dan menapiskan buku adalah suatu yang bukan saja mengecewakan tetapi dirasakan menghina daya fikir para ulat buku.

Seolah-olah hanya dengan membaca sesuatu buku, seseorang itu boleh terpengaruh menjadi komunis, subversif, sesat atau murtad.

Teringat pada tahun-tahun 1970-an di mana negara asing pertama yang penulis kunjungi ialah Singapura.
Lepas peperiksaan MCE pada Disember 1976, penulis bersama sahabat baik Raymond, rakan sepustakawan sekolah menaiki keretapi malam dari Kuala Lumpur ke pulau itu.

Ada dua tempat yang menjadi sasaran kunjungan kami, iaitu Perpustakaan Nasional Singapura dan kedai buku terbesar di sana iaitu MPH.

Secara khusus penulis mahu lihat dan baca buku The Malay Dilemma tulisan Dr. Mahathir Mohamad yang ketika itu diharamkan di Malaysia. Dr Mahathir masa itu ialah Timbalan Perdana Menteri.

Ketika sampai di Johor Bharu, penulis beli Utusan Malaysia. Tetapi ketika masuk ke Singapura, akhbar yang penulis tidak sempat baca itu telah diambil.

Nampaknya, Utusan Malaysia tidak boleh dibawa masuk ke Singapura.
politik

Sampai di Perpustakaan Nasional Singapura dan MPH, kami teruja. Kedua-duanya pada masa itu lebih besar daripada apa yang ada di Kuala Lumpur.

Masuk saja ke dalam MPH, penulis terus ke bahagian politik. Wah, banyaknya buku politik kiri, Marx, Lenin, Trotsky, Mao semuanya ada. Di Kuala Lumpur tidak ada buku-buku seumpama itu pada masa itu.

Dengan segera penulis dapatkan buku The Malay Dilemma dan membacanya dengan cepat. Kalau dibeli tetapi tidak dapat dibawa masuk ke Malaysia tidak berguna juga.

Berulang kali penulis ke kedai itu dan akhirnya habis juga membacanya. Sebagai peminat akhbar tentunya, penulis membeli akhbar The Straits Times dan Berita Harian Singapura untuk dijadikan koleksi sebagai peminat akhbar.

Tetapi apabila masuk ke negara itu, kedua-dua akhbar itu diambil. Rupa-rupanya akhbar Singapura tidak boleh dibawa masuk ke Malaysia.

Negara asing kedua yang penulis kunjungi ialah Indonesia. Pada tahun 1981, penulis masih seorang pelajar universiti. Di Medan, penulis beli buku mengenai sejarah akhbar Indonesia dan beberapa akhbar negara itu.

Sampai di lapangan terbang Subang, akhbar-akhbar Indonesia itu juga diambil. Rasa kecewa kerana penulis mahu menjadikannya sebagai koleksi.

Orang kata pada masa itu, buku-buku dari luar negara yang masuk ke Malaysia mesti diserahkan kepada pihak berkuasa untuk ditapis sebelum dikembalikan kepada pemiliknya.

Sungguh sakit hati penulis terhadap peraturan ini. Berapa banyak sangat orang hendak membaca buku-buku berat yang dihalang ini.

Kalau seseorang itu ahli akademik dan memesan buku melalui universiti sebagai sebahagian daripada kajiannya, ia akan dilepaskan tetapi tidaklah kepada orang awam seperti anak-anak muda yang dianggap mentah dan mudah terpengaruh.

Teringat pada tahun 1976, pada masa itu Perpustakaan Negara ditempatkan di bangunan UMBC. Ketika itu ia bangunan tertinggi di Kuala Lumpur.

Yang ada hanyalah bahagian rujukan. Bahagian pinjaman belum dibuat lagi. Ketika penulis sedang membelek-belek buku mengenai Sukarno, seorang pustakawan menegur. Dia tanya penulis tingkatan berapa.

Setelah mengetahui penulis tingkatan lima, dia minta penulis keluar kerana katanya perpustakaan itu hanya untuk orang tingkatan enam dan ke atas.

Penulis keluar dengan rasa marah. Lebih-lebih lagi sebagai pustakawan sekolah penulis pernah membantu mengutip derma bagi pembinaan bangunan Perpustakaan Negara.

Oleh kerana perpustakaan sekolah penulis berjaya mengutip derma paling banyak, maka kami diberi hadiah satu set lengkap Encyclopedia Britannica. – Oleh ZIN MAHMUD

Ahad, 14 Februari 2010

Selamat Tahun baru Cina 2010


Kepada pengunjung blog, kru mengambil kesempatan mengucapkan Gong Xi Fa Cai kepada semua ibu bapa, guru, pelajar dan rakan berketurunan Cina.
Diharap pada Tahun Harimau ini akan membawa keamanan dan kesejahteraab kepada semua warga di negara tercinta ini…”

Isnin, 25 Januari 2010

Muhyiddin umum Sekolah Berprestasi Tinggi


PUTRAJAYA - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengumumkan Sekolah Berprestasi Tinggi, membabitkan 10 sekolah berasrama penuh dan empat sekolah menengah harian seluruh negara.

Sekolah berasrama penuh:
1. Sekolah Tun Fatimah (STF), Johor Bahru
2. Sekolah Datuk Abdul Razak (SDAR), Seremban
3. Kolej Melayu Kuala Kangsar (KMKK), Perak
4. Sekolah Seri Puteri, Cyberjaya
5. Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim, Kedah
6. Kolej Tunku Kurshiah (TKC), Seremban
7. Kolej Islam Sultan Alam Shah, Klang
8. Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra, Perlis
9. Sekolah Sultan Alam Shah, Putrajaya
10. Sekolah Menengah Sains Muzaffar Syah , Melaka

Sekolah menengah harian:
1. Sekolah Menengah Kebangsaan Perempuan Sri Aman, Petaling Jaya
2. Sekolah Menengah Kebangsaan Aminuddin Baki, Kuala Lumpur
3. Sekolah Menengah Kebangsaan Sultanah Asma, Kedah
4. Sekolah Menengah Kebangsaan (P) St George, Pulau Pinang

Ahad, 17 Januari 2010

3 000 guru Bahasa Inggeris diperlukan

KUDAT, SABAH - Kira-kira 13,000 guru Bahasa Inggeris diperlukan bagi menampung kekurangan di sekolah seluruh negara yang kini berada pada tahap mendesak.
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, tenaga pengajar dalam bahasa tersebut amat diperlukan bagi memastikan pencapaian dalam subjek itu tidak terjejas.
"Kementerian mendapati masalah kekurangan guru bahasa Inggeris begitu kritikal sekali malah hingga menjejaskan prestasi pelajar terutama di kawasan luar bandar," katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas melawat beberapa sekolah di Pulau Banggi yang memakan masa kira-kira sejam perjalanan dengan bot dari sini hari ini.
Katanya, antara punca utama kekurangan itu disebabkan keengganan guru yang mengajar bahasa tersebut untuk bertugas di kawasan luar bandar dan pedalaman.
Sehubungan itu katanya, sebagai langkah segera mengatasi masalah tersebut, kementerian merancang mengambil 300 tenaga pengajar dari luar negara untuk melatih guru-guru tempatan mengajar subjek tersebut.
Dalam pada itu, beliau mengakui menerima banyak aduan daripada lulusan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang masih belum diserapkan sebagai guru oleh Kementerian Pelajaran.
Jelas Mohd. Puad, pihak kementerian memberi jaminan akan menyelesaikan masalah mereka yang berkelulusan sarjana muda pendidikan itu secepat mungkin. -BERNAMA

Jumaat, 8 Januari 2010

Wujudkan jawatan pembantu guru


KUALA LUMPUR - Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mencadangkan agar kerajaan memperkenalkan jawatan pembantu guru di sekolah-sekolah dengan nisbah seorang bagi setiap 500 murid bagi menjalankan beberapa tugas tertentu yang kini dipikul oleh guru.

Setiausahanya, Lok Yim Pheng berkata pembantu guru itu akan berperanan melakukan segala kerja pengkeranian seperti mengisi borang dan mengiringi murid ke acara sukan atau ke hospital dan klinik, dan ini akan membebaskan guru daripada beban yang tidak perlu, sekali gus membenarkan mereka menumpukan perhatian kepada tugas mengajar.

“Pada masa sekarang guru dikekang dengan pelbagai kerja pengkeranian dan tugas remeh yang mengambil banyak masa mereka,” katanya di sini, semalam.

Yim Pheng berkata, NUTP, yang mempunyai 160,000 anggota, menyambut baik keputusan kerajaan untuk memperkenalkan elemen kreativiti, inovasi dan kemahiran hidup dalam kurikulum sekolah bagi memenuhi keperluan semasa.

“Inilah yang kita minta bertahun-tahun sebelum ini dan kita berasa gembira kerana kerajaan telah memberi respons yang positif kepada idea itu,” katanya merujuk kepada kenyataan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin (gambar) yang juga Menteri Pelajaran bahawa kerajaan berhasrat mengubah sistem pendidikan negara bagi menyediakan pendidikan berkualiti.

Katanya, kerajaan juga boleh menimbang untuk menaik taraf sistem teknologi komunikasi maklumat sekolah dan menghubungkannya terus kepada pejabat pelajaran daerah, negeri dan kementerian.

“Apa yang berlaku sekarang ialah guru-guru diminta menghantar maklumat yang sama kepada pejabat pelajaran daerah, negeri dan kementerian secara berasingan,” katanya. - Bernama

Khamis, 7 Januari 2010

e Kasih kenal pasti murid miskin


SAMARAHAN, SARAWAK - Kementerian Pelajaran akan menggunakan senarai e-Kasih bagi mengenal pasti pelajar miskin untuk diberi pelbagai bantuan yang disediakan kementerian itu.

Timbalan Menterinya, Dr. Mohd. Puad Zarkashi (gambar) berkata, penggunaan senarai e-Kasih akan memastikan hanya mereka yang layak dan berdaftar menerima bantuan kerajaan.

Berikutan itu jelasnya, pelaksanaan Skim Baucer Tuisyen dan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) akan disemak semula bagi memastikan hanya yang layak menerima bantuan tersebut.

''Kemungkinan berlaku sedikit kelewatan dalam pemberian bantuan kerajaan seperti pembayaran Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) dan bantuan-bantuan lain berikutan penggunaan e-Kasih," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke lapan buah sekolah di dalam kawasan Parlimen Batang Sadong di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Pelajaran negeri, Julaihi Bujang dan Ahli Parlimen Batang Sadong, Nancy Shukri.

Puad memberitahu, kerajaan membelanjakan sejumlah RM3.8 bilion setahun bagi menyediakan bantuan kewangan untuk program-program kementerian seperti Skim Baucer Tuisyen, KWAPM, makanan asrama, Biasiswa Kecil Persekutuan dan buku teks.

Oleh itu katanya, peranan ketua kampung adalah penting kerana mereka yang dapat menentukan bantuan kerajaan itu sampai kepada sasarannya.

''Kita tidak mahu berlaku pembaziran kerana pernah berlaku bantuan kerajaan diberikan kepada mereka yang tidak layak," jelas beliau.

Sementara itu, Puad meminta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) supaya bersikap adil terhadap masyarakat Penan demi masa depan anak-anak masyarakat itu.

Katanya, tanggapan negatif NGO terhadap masyarakat itu menyebabkan syarikat pembalakan di Long Bedian kini enggan menumpangkan pelajar Penan ke sekolah.

''Ia menimbulkan masalah besar dan boleh mengakibatkan berlaku masalah keciciran membabitkan anak-anak masyarakat itu," katanya.